Pages

02 November 2009

Kanser Hati & Pokok Kanser

 

image KANSER hati tersenarai pada kedudukan keenam penyakit kanser yang biasa ditemui di dunia dan merupakan punca ketiga kematian yang berkaitan dengan penyakit kanser. - Gambar hiasan

 

Jika ditanya sejauh manakah kemungkinan untuk kita untuk berdepan risiko jangkitan virus Hepatitis B, mungkin ramai yang menyatakan: “Ia tidak mungkin berlaku kepada saya.”

Ini kerana agak sukar mengesan simptom peringkat awal penyakit itu sehinggalah kita menjalani ujian darah atau pemeriksaan kesihatan untuk penyakit lain.

Antara gejala-gejala yang sering dikaitkan dengan penyakit hati termasuklah penurunan berat badan tanpa sebab, tiada selera makan, sakit sekitar bahu kanan, kulit menjadi kekuningan termasuk mata dan sentiasa berasa lesu dan mual.

Bagaimanapun, semua gejala di atas hanya muncul apabila kanser sudah sampai ke peringkat serius yang disebabkan pesakit lewat datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Sedihnya, pada peringkat ini penyakit itu telah sukar dirawat dan dalam kebanyakan kes, peluang untuk hidup adalah kurang dari satu tahun.

Sesuatu yang perlu disedari ialah sebenarnya sesiapa sahaja daripada kita berdepan dengan risiko untuk mendapat jangkitan virus berkenaan, terutama mereka yang berusia 16 tahun ke atas. Ini kerana, di negara kita program imunisasi terhadap virus tersebut hanya diwajibkan kepada bayi yang baru lahir pada tahun 1989.

Merujuk kepada laporan kedua Daftar Kanser Kebangsaan Mengenai Kejadian Kanser di Malaysia 2003 yang diterbitkan pada tahun 2004, kanser hati merupakan kanser ke-10 paling kerap ditemui di kalangan lelaki dan wanita.

Hepatocellular carcinoma (HCC) merupakan bentuk kanser hati yang biasa ditemui dan bertanggungjawab untuk kira-kira 90 peratus kanser hati malignan utama kalangan dewasa.Dianggarkan juga seramai 378 lelaki dan 150 wanita bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia menghidap penyakit kanser hati.

Kanser hati tersenarai pada kedudukan keenam penyakit kanser yang biasa ditemui di dunia dan merupakan punca ketiga kematian yang berkaitan dengan penyakit kanser.

Lebih 600,000 kes kanser hati didiagnosis di seluruh dunia setiap tahun dan jumlah tersebut semakin meningkat.

Pada hari ini, kadar survival selama lima tahun bagi penghidap penyakit kanser hati di Eropah ialah 8.6 peratus, Amerika Syarikat (kurang 10 peratus) dan Asia (kurang 10 peratus bagi tumor yang tidak boleh dibedah).

Kanser hati di benua Asia Pasifik kian berkembang kerana bilangan tinggi jangkitan virus Hepatitis B kronik, yang kini memberi kesan kepada kira-kira 275 juta penduduk di benua itu. Walaupun mereka boleh menjalankan aktiviti harian tanpa masalah, kumpulan ini perlu diawasi supaya tidak menyebarkan virus kepada orang lain.

Konsultan dalam bidang onkologi klinikal di sebuah hospital swasta, Dr. Chong Kwang Jeat, tidak menafikan bilangan ini mungkin lebih daripada itu kerana masih banyak kes penyakit kanser hati tidak dilaporkan kerana kurang kesedaran mengenainya.

Berlaku dengan cepat
Berdasarkan kepada pengalaman, kata Kwang Jeat, kebanyakan pesakit berusia dalam lingkungan 30 tahun ke atas kerana virus Hepatitis B mengambil masa agak lama untuk merosakkan hati dan apabila telah rosak, ia akan merebak dengan cepat.

‘‘Apa yang membimbangkan peningkatan jumlah kes yang baru dikesan. Dalam kebanyakan kes barah hati peringkat awal tidak mempunyai sebarang tanda atau gejala.

“Apabila ada gejala, itu menandakan barah hati sudah sampai ke peringkat serius. Inilah sebabnya individu yang berisiko tinggi disaran menjalani pemeriksaan,’’ ujarnya pada sidang media memperkenalkan Sorafenib, anjuran Bayer Schering Pharma Malaysia di ibu negara, baru-baru ini

Beliau berkata, simptom-simptom yang wujud pada tahap seterusnya termasuk gumpalan, ketidakselesaan pada bahagian kanan abdomen, kesakitan sekitar sebelah kanan tulang belikat atau kulit yang kekuningan atau jaundis.

Faktor risiko menghidap kanser hati termasuk jangkitan kronik virus Hepatitis B atau C yang berkait dengan sirosis atau gangguan struktur hati normal oleh fibrosis dan pembentukan nodul yang disebabkan oleh pelbagai keadaan yang memberi kesan pada hati seperti ketagihan alkohol, obesiti, diabetis dan penggunaan tembakau.

Pendedahan jangka masa panjang terhadap aflatoxin (toksin yang dihasilkan oleh beberapa spesies fungus yang boleh ditemui pada kacang tanah, pepohon kacang dan benih berminyak), penggunaan steroid anabolik dalam jangka masa panjang dan air yang tercemar dengan arsenik juga merupakan faktor risiko HCC.

Secara amnya, kata Dr. Kwang Jeat, kanser dirawat dengan menggunakan kaedah kemoterapi dan radioterapi.

Namun, bagi kebanyakan penghidap kanser hati, rawatan tersebut adalah sukar kerana tahap toksik ubat-ubatan antikanser meningkat dan fungsi hati mereka terjejas.

Disebabkan itu, katanya lagi, terdapat keperluan penting bagi mengesan dan mewujudkan diagnosis, di samping rawatan yang memanjangkan hayat yang lebih efektif.

Harapan

Hari ini pesakit kanser hati mempunyai sebab untuk berasa gembira kerana harapan untuk mereka meneruskan kehidupan adalah lebih cerah dengan pengunaan Sorafenib.

Sorafenib merupakan terapi pertama dan satu-satunya ubat rawatan oral antikanser untuk penghidap HCC.

Setakat ini, ia merupakan satu-satunya ubat yang memperbaiki kadar jangka hayat penghidap HCC di peringkat lanjut.

Sorafenib telah diluluskan penggunaan untuk rawatan HCC oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada Disember 2007. Menariknya, Malaysia merupakan antara negara terawal yang membenarkan penggunaan ubat oral tersebut selepas ia diluluskan penggunaannya oleh Pentadbiran Makanan dan Perubatan Amerika Syarikat (FDA) dan Agensi Perubatan Eropah (EMEA).

Pada Disember 2005, FDA telah meluluskan ubat tersebut untuk rawatan kanser buah pinggang atau renal cell carcinoma (RCC) di peringkat lanjut.Ini menjadikannya rawatan kelulusan FDA pertama untuk penyakit tersebut dalam masa lebih sedekad.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perubatan Dalaman Universiti Mainz, Jerman, Prof. Dr. Peter Galle, turut memaklumkan bahawa jumlah kematian disebabkan oleh penyakit tersebut terus meningkat.

Jika sebelum ini para pesakit pada peringkat terakhir penyakit ini tidak mempunyai harapan dan pilihan rawatan efektif dan kemungkinan meninggal dunia dalam masa setahun selepas diagnosis, dengan kehadiran Sorafenib, para pesakit kini mempunyai lebih peluang untuk melanjutkan kadar survival pesakit sehingga lebih 44 peratus.

Malah kehadiran sorafenib memberi impak besar dalam memperbaiki kesan rawatan dan juga kehidupan bagi pesakit-pesakit yang berhadapan dengan penyakit ini.

Tegas Dr. Galle, pengambilan Sorafenib mempunyai kesan sampingan yang boleh dirawat termasuk reaksi kulit pada kaki dan tangan seperti kemerah-merahan dan masalah cirit-birit.

‘‘Ubat oral tersebut adalah salah satu kelas terbaru terapi kanser yang berfungsi dengan menyasarkan dan menghalang protein yang menghantar isyarat dalam sel.

‘‘Ini seterusnya menghentikan penambahan bilangan sel tumor dan juga memotong bekalan darah terhadap ketumbuhan tersebut,’’ ujarnya.

Sementara itu, Perunding Onkologi Hospital Universiti Nasional Taiwan, Dr. Chiun Hsu pula menegaskan peluang untuk pesakit barah hati meneruskan kehidupan secara umumnya adalah sangat rendah.Berdasarkan tempoh selama lima tahun, kajian seluruh dunia mendapati peluangnya adalah kurang daripada 10 peratus.

Kajian penggunaan Sorafenib ke atas pesakit di Taiwan terbukti dapat membantu meningkatkan peluang hidup pesakit di negara tersebut. sebanyak 47 peratus.

Sorafenib kini diluluskan di lebih 70 buah negara untuk rawatan peringkat lanjutan kanser buah pinggang dan rawatan HCC di lebih 40 buah negara. Syarikat-syarikat, kumpulan penyelidik antarabangsa, agensi-agensi kerajaan dan pengkaji sedang menilai keberkesanan Sorafenib sebagai agen tunggal atau rawatan kombinasi pelbagai bentuk kanser termasuk kanser paru-paru, kanser payudara dan sebagai terapi tambahan untuk kanser buah pinggang.

 

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0729&pub=utusan_malaysia&sec=kesihatan&pg=kn_01.htm&arc=hive

 

 

Pokok Kanser / Jarum / Bintang Tujuh / Chat Sim Chan / Preskia

Kegunaan:

  • Merawat kanser terutama kanser kolon/usus besar, kanser hidung dan kanser yang lain.
  • Selain merawat kanser ia juga boleh merawat darah tinggi, kencing manis, pening kepala dan sakit buah pinggang.


Cara:

  1. Masukkan 2 helai daun ke dalam air panas, dijadikan teh dan diminum
  2. Daunnya dimakan sebagai ulam 1-3 helai setiap hari.
  3. Kisar daun menjadi lumat, dijadikan jus dan diminum

image

image

Pic credit to:
http://sirmart.blogspot.com

 

 image

image

 

image

Pic credit to: juariahhjyunus.fotopages.com/?entry=1145207

 

Semoga entry ini memberi manfaat kepada kita semua. Wallahua’lam.

No comments: